SENAMAN MATA YANG BERKESAN

June 02, 2017

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pernah dengar tak lagu "mata" dari Noor Kumalasari? Dalam lirik tu ada sebut, mata memandang, mata memikat, matalah puncanya. Mata menjeling, mata menggoda, matalah asalnya. Yer.. semuanya bermula dari mata dan turun ke hati. Tanpa mata, gelaplah pandangan kita. Gelaplah dunia kita.



Mata kita dikawal oleh 6 otot mata yang membantu dalam setiap pergerakan mata. Seperti otot-otot lain di dalam sistem tubuh kita, otot mata juga perlu melakukan senaman bagi memastikan otot-otot mata tersebut sihat dan kuat. Apabila otot mata kita sihat, sudah tentulah kita dapat melakukan fungsinya dengan berkesan. 

Tidak kiralah apa sahaja senaman yang kita buat, semuanya bagus untuk kesihatan. Tidak terkecuali juga dengan senaman mata. 




Cara senaman mata yang berkesan

Cara 1 : Senaman Kelip mata 


Berkelip mata selalunya senaman mata yang ramai orang terlepas pandang. Senaman kelip mata ini sangat mudah untuk dilakukan. Ia mampu mengekalkan kesegaran mata dan dapat memberi tumpuan yang lebih panjang. Mata yang segar dapat membantu memberi tumpuan dengan lebih lama. 

Kebanyakan pengguna komputer atau penonton televisyen kurang melakukan kerdipan mata yang penuh, terutamanya ketika penumpuan berada pada tahap yang tinggi. Keadaan ini akan menjadikan mata cepat letih di samping simptom kekeringan mata yang lain.

Cara untuk melakukan senaman kelip mata ialah dengan:
  • Pejamkan mata rapat selama 3-4 saat
  • Buka mata selama 3-4 saat semula
  • Ulang senaman ini selama 7-8 kali setiap kali mengalami keletihan mata terutamanya ketika menggunakan komputer
Selepas selesai lakukan senaman ini, perhatikan rasa mata kita. Adakah kita rasa mata kita tegang, tenang atau letih?

Sekarang cuba pula kita tidak mengelipkan mata selama 30 saat. Dan lakukan senaman ini selama 2 minit.

Adakah kita rasa berbeza?

Setiap kali kita mengelip mata, kita akan berada dalam kegelapan dalam tempoh singkat yang membantu untuk merehatkan mata dan mengurangkan ketegangan mata. Fasa gelap seketika ini berindak seperti permulaan menerima maklumat penglihatan yang baru setiap kali selepas mata kita berkedip.

Cara 2 : Senaman mata menggunakan tapak tangan ( menekup mata)


Teknik senaman ini dapat membantu mengurangkan stress dan tekanan di sekeliling mata di samping dapat merehatkan mata. Apabila kita menekup mata menggunakan tapak tangan, kita meransang titik peka di sekeliling mata yang mampu menenangkan minda serta merehatkan otot-otot di sekeliling mata.Keadaan ini memberi satu kesan kuasa penyembuhan yang meredakan keletihan mata.

Cara untuk melakukan senaman ini ialah dengan:
  • Duduk dengan selesa di hadapan meja dengan siku di atas meja atau siku direhatkan di atas lutut. Gosokkan kedua-dua tangan kita bersama-sama sehingga terasa hangat
  • Letakkan tengah tapak tangan menutupi mata sepenuhnya. Kedudukan semua jari di dahi dan pangkal tapak tangan di pipi.
  • Pastikan tiada cahaya yang memasuki melalui jurang antara jari.
  • Ambil nafas dalam-dalam dan secara perlahan fikir perkara yang menenangkan seperti duduk di tepi pantai, tasik yang bersih lagi jernih atau gunung.
  • Ulang senaman ini selama 3 minit atau lebih.

Senaman menekup mata ini memberi peluang kepada kita untuk merehatkan minda dan mata dalam beberapa minit. 

Cara 3 : Senaman fokus objek yang jauh dan dekat

Senaman mata ini adalah yang paling mudah untuk dilakukan dan boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.

Senaman ini dilakukan untuk meningkatkan fleksibiliti mata ketika menukarkan penumpuan daripada penglihatan jauh kepada penglihatan dekat dan sebaliknya. Senaman ini bertujuan untuk menguatkan ketahanan otot mata yang berterusan di samping meningkatkan penglihatan secara keseluruhan.

Cara untuk melakukan senaman ini ialah dengan:
  • Duduk atau berdiri dalam keadaan selesa
  • Letakkan ibu jari hadapan kira-kira 10 inci dari hidung dan beri tumpuan kepada ibu jari tersebut selama 2-3 saat.
  • Sekarang tumpukan pula pada objek lain yang berada dalam 10-20 kaki di hadapan kita selama 2-3 saat.
  • Ulang proses ini  sekurang-kurangnya sebanyak 10 kali pusingan setiap hari. Untuk lebih meningkatkan tahap penumpuan, jarak fokus jauh boleh diubah kepada yang lebih jauh.
  • Senaman ini hanya mengambil masa 2 atau 3 minit sahaja.  

Cara 4 : Senaman angka lapan

 
Lakaran angka lapan


Senaman ini sangat-sangat sesuai untuk menguatkan otot-otot di sekeliling mata. Senaman mata ini dapat meningkatkan fleksibiliti otot mata menerusi kaedah atau teknik yang lebih santai.

Cara untuk melakukan senaman ini ialah dengan:
  • Bayangkan terdapat angka lapan gergasi pada jarak 3m (10 kaki) di hadapan
  • Bayangkan bahawa angka lapan tersebut berada dalam kedudukan terbalik seperti sepasang cermin mata
  • Secara perlahan-lahan, cuba ikuti lakaran bayangan angka lapan tersebut menggunakan pergerakan mata tanpa menggerakkan atau mengubah kedudukan kepala
  • Lakukan senaman ini pada satu arah untuk beberapa minit (3-5 minit) sebelum menukar kepada arah yang bertentangan untuk beberapa minit (3-5 minit juga)

Senaman ini mampu meningkatkan keupayaan penglihatan kita.

Senaman mata juga dapat membantu kita dalam beberapa perkara:

  • Meningkatkan keupayaan mata untuk menumpu dengan lebih baik
  • Mengurangkan tegangan di sekeliling mata
  • Mengurangkan sensitiviti mata terhadap cahaya matahari atau cahaya
  • Menguatkan otot-otot di sekeliling mata
  • Membantu pennglihatan daripada segi koordinasi mata, menganggar kedudukan dan jarak objek serta pandangan sisi seseorang 

Jagalah kesihatan mata dengan sebaik-baiknya. 

You Might Also Like

0 comments

Popular Posts